MEI 2023

KDNK Sarawak Melepasi KDNK Negara


KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita negeri ini telah meningkat daripada RM55,931 pada 2020 kepada RM65,971 pada 2021.

Beliau berkata, peningkatkan itu melepasi KDNK per kapita negara pada RM47,539 sekarang.

Sarawak berada di landasan betul dan peningkatan itu adalah satu pertunjuk mencapai kemajuan lebih pesat, katanya merasmikan Simposium Borneo Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT) 2023 di Muzium Budaya Sarawak di sini.

Abang Johari menegaskan, Sarawak menyasarkan untuk menggandakan KDNK negeri daripada RM136 bilion pada 2019 kepada RM282 bilion pada 2030.

Pada masa sama, Sarawak mahu mewujudkan sebanyak 195,000 peluang pekerjaan tambahan, tegas beliau.

Beliau berkata, usaha sekarang adalah untuk memastikan Sarawak mencapai kadar pertumbuhan tahunan negeri kepada sekurang-kurangnya lapan peratus dalam tempoh tujuh tahun akan datang,

Ini adalah satu lonjakan daripada kadar pertumbuhan semasa sekitar 3 hingga 4 peratus, katanya.

Untuk mencapai kadar pertumbuhan itu, katanya, kegiatan ekonomi negeri ini hendaklah bercirikan inovatif dan menggunakan teknologi.

Sumber dari : Jiwa Bakti